Rabu, 29 Disember 2010

Warisan : Wakaf Kubur Kutang Hulu | Tumpat

6 tahun yang lepas, saya pernah membuat kajian & lukisan terukur sebuah wakaf yang terletak di tanah perkuburan Kampung Kutang Hulu di Tumpat, Kelantan. Mungkin sedikit info & gambar-gambar yang saya rakamkan ini boleh membantu generasi kini yang masih menghargai kekayaan senibina warisan melayu kita. Semua foto-foto ini dirakamkan pada 6 tahun yang lepas. Kini, saya tidak pasti keadaannya. Samada ianya masih wujud atau telah dibaik pulih. Jika masih berpeluang, saya mungkin singgah ke situ lagi untuk melihat keadaan terkini sambil mengulit seribu kenangan di situ & akan dikongsikan semula.

Wakaf Kubur Kutang Hulu | Tumpat
Wakaf Kubur Kutang Hulu | Tumpat
Wakaf Kubur Kutang Hulu | Tumpat
Wakaf Kubur Kutang Hulu | Tumpat

Secara ringkasnya, berdasarkan temuramah yang telah dibuat dengan beberapa orang penduduk kampung ini. Kampung Kutang Hulu telah ditubuhkan sekitar 1914 yang ditadbir oleh Penghulu bernama Awang Bin Saadmah. Pembinaan wakaf kubur ini adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim dikalangan penduduk kampung semasa pemerintahannya disamping menjadi tempat persinggahan & tempat berteduh.

Pembinaannya yang diketuai oleh seorang tukang ukir besi terkenal ketika itu iaitu Konok Bin Mat Min. Beliau merupakan anak tempatan tetapi lebih banyak mengadaptasikan pengaruh senibina dari Pattani, Thailand ke dalam hasil-hasil kerjanya. Tukang-tukang lain yang terlibat ialah Wan Jusoh, Wan Ali & Wan Omar.

Pembinaan ini juga dilaksanakan secara bergotong-royong dan dipercayai mengambil masa selama sebulan. Antara material yang digunakan ialah kayu merbau dan atap senggora yang diperolehi dari Kemasik dan Pattani.